Rabu, 05 Februari 2014

Rang Undang Undang Ampun Thaksin Ditolak


Bangkok – Senat Thailand menolak rang undang-undang pengampunan yang dikatakan bertujuan membawa pulang bekas perdana menteri yang dalam buangan, Thaksin Shinawatra, kata Speaker Senat, Nikom Wairatpanji semalam, satu langkah yang boleh meredakan ketegangan di Bangkok.

Rang undang-undang berkenaan bertujuan membersihkan jenayah yang pernah disabitkan terhadap semua pemimpin yang terbabit dalam ketegangan politik sejak 2004 dan disokong oleh parti pemerintah parti Puea Thai diketuai Perdana Menteri Yingluck Shinawatra, adik Thaksin.

“Saya menolak rang undang-undang ini dan akan mengembalikannya semula ke dewan rendah. Kami tidak akan menerima pengampunan ini dan majoriti Senat bersetuju dengan saya,” katanya.
Ancam jejas keamanan

Beribu-ribu penunjuk perasaan berarak di jalanan di Bangkok sejak Jumaat lalu membantah rang undang-undang terbabit, mengancam menjejaskan keamanan selama berbulan-bulan di sebuah negara yang pernah menyaksikan ketegangan berdarah pada 2010.

Lebih 5,000 pelajar dari Universiti Chulalongkorn, Bangkok berarak di ibu negara membantah rang undang-undang itu, kelmarin.

Rang undang-undang itu dibahaskan di Senat, Isnin lalu kerana ia memerlukan sokongan sekurang-kurangnya 76 daripada 150 senator sebelum ia diluluskan.
Direka untuk benar Thaksin pulang

Pengkritik berkata, rang undang-undang berkenaan direka untuk membenarkan Thaksin kembali ke Thailand tanpa menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah dalam perbicaraan yang tidak dihadirinya pada 2008 kerana kesalahan rasuah.

Nikom bekerja dengan kerajaan yang disokong Thaksin sebelum ini dan dipercayai menyokong pentadbiran Parti Puea Thai yang diketuai adik Thaksin, Yingluck.

Kumpulan hak asasi berkata pengampunan terbabit akan memansuhkan kesalahan sesiapa yang pernah didakwa dengan jenayah berkaitan keganasan politik, mengetepikan hukuman terhadap pesalah dan mengekalkan kitaran keganasan dan budaya bebas dari hukuman.

Dalam ucapan rasmi pertamanya sejak draf rang undang-undang diluluskan dewan rendah minggu lalu, Yingluck berkata bahawa beliau akan membiarkan nasib rang undang-undang terbabit di tangan senator. – REUTERS

Tidak ada komentar:

Posting Komentar