Rabu, 25 Desember 2013
Awas! wang RM100 palsu
Loh (kanan) menunjukkan wang RM100 palsu kepada David (tengah) yang datang ke kedainya, semalam. Gambar kecil: Perbezaan wang kertas RM100 palsu (kiri) dan tulen.
SEREMBAN – Seorang pemilik kedai kasut di Taman Seremban Jaya Fasa 9 di sini, kecewa apabila mendapati not RM100 yang diterimanya daripada seorang pelanggan merupakan wang palsu.
Madam Loh, 42, berkata, wang berkenaan diterima Jumaat lalu, dan hanya disedari oleh anaknya ketika mengira hasil jualan pada hari sama, sebaik saja kedainya ditutup.
Menurut Loh, wang tersebut diterima daripada seorang pelanggan lelaki yang sebelum itu membeli sepasang kasut di kedainya.
Menurutnya, lelaki itu keluar selepas membuat pembayaran, namun berpatah balik untuk membuat tukaran sekeping wang RM100.
“Dia memberi alasan mahu menukar wang berkenaan kepada dua keping RM50 untuk memudahkannya memberi angpau kepada ahli keluarga sempena Deepavali keesokan harinya.
“Ketika itu, kedai saya ramai pelanggan dan tanpa mengesyaki apa-apa saya memberi dua keping RM50 untuk ditukar dengan RM100 diberinya,” katanya.
Menurutnya, seperti kebiasaan, setiap hari wang hasil jualan akan dikira untuk rekod perniagaannya sebelum dimasukkan ke dalam bank.
“Ketika anak saya sedang mengira wang, tiba-tiba dia memanggil saya dan memberitahu terdapat sekeping RM100 yang kertas dan warnanya mencurigakan.
“Saya memerika wang tersebut dan terkejut apabila mendapati ia sebenarnya wang palsu,” katanya.
Loh berkata, kejadian seumpama itu kali pertama berlaku terhadapnya dan dia menasihatkan orang ramai terutama peniaga berhati-hati ketika menerima not RM100 dengan memeriksa terlebih dahulu sebelum mengambilnya.
Sementara itu Pengerusi Gerakan negeri, David Choong Vee Hing ketika hadir ke kedai mangsa berkata, kejadian seumpama itu bukan kali pertama berlaku di kawasan itu.
Menurutnya, pihaknya sudah menerima beberapa aduan daripada peniaga yang turut mengalami nasib sama.
“Saya dapati individu tidak bertanggungjawab ini sengaja membuat tukaran wang palsu bagi mendapatkan wang sebenar.
“Mereka bertindak licik apabila hanya pergi ke kedai yang agak sibuk dengan pelanggan bagi mengelakkan dikesan,” katanya.
Beliau turut menasihatkan peniaga menyediakan mesin pengimbas wang palsu di kedai masing-masing agar kejadian sama tidak berulang.
Related Posts : awas!,
palsu,
rm100,
wang
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar