Sabtu, 21 Desember 2013

‘Pejuang’ tersungkur

Bukit Kayu Hitam: Sembilan individu, termasuk ada antaranya dilabelkan sebagai ‘fighter’ atau pejuang dalam dua kumpulan kongsi gelap, cuba mengelirukan pihak berkuasa ketika mahu menyusup ke negara jiran melalui Kompleks Imigresen dan Kastam (KIK) Bukit Kayu Hitam, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, kumpulan lelaki terbabit berlagak selamba sebelum cuba melalui pemeriksaan secara berperingkat, namun gagal apabila ditahan pihak berkuasa selepas menerima maklumat orang awam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Bukit Aman Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, semua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun membabitkan kumpulan kongsi gelap 04 dan 08 dipercayai cuba menyeberang ke Thailand dengan berjalan kaki.

Menurutnya, mereka yang berasal dari Kedah, Perak dan Selangor cuba menyusup masuk ke negara jiran untuk menyembunyikan diri, selain dipercayai mahu membuang tatu pada tubuh masing-masing selepas menjadi buruan pihak berkuasa.

“Ada antara mereka dikenal pasti sebagai ‘fighter’ dan mempunyai jawatan dalam kumpulan kongsi gelap berkenaan kerana akan mengikut segala arahan ketua’ termasuk menyerang mana-mana individu dikehendaki.

“Mereka cuba mengelirukan pihak berkuasa apabila cuba memasuki negara jiran bermula tiga orang diikuti dua orang dan seterusnya, tetapi pergerakan anggota kongsi gelap itu dikesan sehingga tangkapan berjaya dibuat.

ABDUL Jalil menunjukkan tatu dibadan salah seorang daripada sembilan ahli kumpulan kongsi gelap yang berjaya ditahan.

“Siasatan awal menemui beberapa tatu seperti harimau, helang dan lambang 04 pada tubuh mereka, termasuk lengan dan kaki, namun kita masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pembabitan lelaki ini dengan kongsi gelap,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai pemeriksaan dalam Ops Cantas Khas di KIK Bukit Kayu Hitam, di sini.

Menurutnya, empat daripada lelaki terbabit mempunyai pasport antarabangsa, sementara empat lelaki hanya mempunyai pas sempadan, manakala seorang lagi tiada pasport dan seorang daripada mereka dikatakan masuk ke negara jiran setiap hari.


Katanya, Bukit Aman juga bekerjasama dengan rakan sejawat di Thailand untuk mengenal pasti sama ada mereka mempunyai kaitan dengan mana-mana kumpulan lain di negara jiran.


“Polis turut berbangga kerana memperoleh maklumat berhubung aktiviti kumpulan kongsi gelap ini sehingga membawa tangkapan ke atas kumpulan lelaki terbabit, sekali gus menunjukkan rakyat berani dan mahu membanteras elemen gengster,” katanya.

Tidak ada komentar:

Posting Komentar